HUJAN

 


Anong memandang langit. Hujan semakin lebat. Dia gelisah. Kain rok yang dipakainya terus diselak separas betis sehingga menampakkan betisnya yang putih melepak. Dia mulai berlari meredah hujan. Dia nekad  berlari menuju ke arah rumah berkubah hitam di hadapannya. Dia terpaksa berteduh di situ walaupun berkali-kali dilarang Pho. Sekejap lagi apabila hujan teduh, dia akan kembali ke tempat menunggu seperti biasa. Pho tak akan tahu dan dia juga amat yakin bahawa abangnya Dusit pun tidak akan tahu. Dia menarik nafas lega.

Sudah sebulan Anong berulang alik dari rumahnya ke rumah guru seni yang terkenal di pinggir bandar. Sudah sebulan jugalah Anong yang bebal dipaksa belajar untuk melakar tapak ukiran emas. Setiap kali itu jugalah dia gagal. Dia tidak pernah mahu belajar ukiran ini. Entah kenapa Pho selalu memaksa dia melakukan perkara yang dia tidak suka. Anong selalu cemburu dengan Boonsri, adiknya yang lemah lembut itu. Boonsri yang selalu pitam dan sakit-sakit itu tidak pernah dipaksa melakukan apa-apa. Mae hanya menyuruh Boonsri belajar memasak dengan tukang masak yang diupah Mae. Anong mendengus kuat, cemburu Anong kepada  Boonsri semakin membuak-buak.

Hujan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu teduh. Anong memandang gelisah kepada susuk lelaki yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Anong mengundur ke belakang dan matanya meliar mencari-cari alat yang boleh dijadikan senjata. Matanya menangkap kayu panjang sedepa yang tersangkut di tepi gendang besar. Anong merencana mahu menggunakan kayu itu sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Dia cuak apabila lelaki itu turut bergerak ke arah kayu tersebut. Sepantas kilat Anong berlari mendahuluinya namun malangnya lantai yang licin menyebabkan dia jatuh menghempas lelaki itu.

Dunia Anong kelam dan bisu….

 

Tentang Dia


 MINGGU 1: HILANGNYA DUKA

Aku genggam jari jemarinya sambil merenung wajah tidak bermayanya itu. Mulutnya kumat-kamit. Aku mendekatkan telingaku. Aku cuba untuk mengutip buah bicara lewat bibirnya yang kering dan pucat. Dadaku terasa mahu pecah dan mataku cuba menahan limpahan air yang bertakung sejak sekian lama. Aku usap wajahnya. Sayangku padanya tidak pernah surut. Aku mohon pada Mu Ya Allah.. permudahkanlah urusan nan satu ini.


CINTA


Cabaran minggu 1: Kau Curi Hatiku

Aku membuka lembaran surat yang baharu kuterima. Kembang-kuncup hidungku mencium haruman wangi dari surat itu. Jantungku berdebar-debar tatkala membaca isi kandungan surat tersebut.

'KAU BENAR-BENAR TELAH MENCURI HATIKU. Itu kenyataan yang sukar ditolak. Aku serius dengan hubungan kita. Kita pasangan yang secocok, bagai pinang dibelah dua. Semua yang memandang pasti akan cemburu.'

Dia tiba-tiba berdiri di hadapanku sambil tersenyum lebar. Aku merenung ke dalam mata coklatnya. Alangkah indah ciptaan Allah. Lelaki sekacak ini jatuh cinta denganku. Bagai bulan jatuh keriba rasanya. Kecil tapak tangan, nyiru aku tadahkan. 

Aku dan dia sekali lagi berkejar-kejaran di tepi padang yang luas itu.  Angin yang sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi meriahnya suasana. Kain berwarna-warni yang kupakai berkibar-kibar mengikut arah angin. Sesekali aku mendepangkan kedua-dua tanganku sewaktu berlari di sekeliling padang. Rambutku yang panjang separas pinggang sengaja kubiarkan bebas di tiup angin. Dari jauh aku lihat dia mencari-cariku. Aku berjengkit-jengkit mendekatinya. Segera kucuit telinganya dengan ranting kayu halus. Dia ketawa sambil mengejarku berlari berkeliling pokok bunga kuning yang tumbuh meliar di situ. Aku ketawa mengejek apabila dia gagal menangkapku.

"Ni dah kenapa tersengeh-sengeh macam kerang busuk?." suara kakakku yang bingit memecah suasana. Aku tersengguk di tepi tiang dapur. Sakitnya kepala aku ditunjal dek kakak.

"Mak tengok budak ni, berangan tak habis-habis, ikan bilis lunyai dikerjakannya," adu kakak aku lagi sambil ditunjalnya kepala aku berkali-kali.

"Isykk! kecohlah kakak ni," aku mencebik marah "langsung tak boleh tengok orang senang," rungutku sambil mengurut-urut kepalaku yang sakit. 

Kakak aku yang  bertuah itu kalau sehari tak berjaya memusnahkan impian aku memang tak senang duduk. Kenapalah kakak aku selalu kacau daun waktu kemuncak adegan?. Tadi aku baru saja berangan  bercinta dengan hero kacak berhidung mancung dari negeri sebelah pasir berdengung. Mana nak dapat lelaki kacak begitu kalau tak berlari di padang luas penuh bunga kuning entah apa nama bunganya itu. Aku belum sempat tukar baju pun sewaktu berlari-lari tadi. Keretapi pun belum sempat lalu di tepi padang. Alahai... memang betul-betul kacau daun sungguh dia ini.

"Berangan bukannya kena bayar pun," mukaku masam mencuka.

"Memanglah tak kena bayar tapi ikan bilis nak dibuat sambal nasi lemak ni sudah cedera parah dikerjakan,  siapa nak jawab ni?." Kakak aku menyambar dulang ikan bilis dari tanganku. Sempat lagi dia hadiahkan aku dengan cubitan keramat dilenganku. 

"Adoi!!!." aku menjerit kuat.

Dari jauh aku nampak hero hidung mancungku tadi hilang dalam gerabak keretapi... 



MAHAR

CABARAN MINGGU 1: JUMPA ORANG    

Dia menyeret beg sandang yang sarat dengan segala bagai perkakasan pejabat. Bunyi tapak kasutnya kelentung kelentang memecah kesunyian pagi. Aku duduk sabar menunggu di hadapan pintu yang sengaja kukuakkan. Aku menghitung perlahan-lahan dalam hati 'Satu, dua, tiga, empat, dan...' seperti yang dijangka dia menjengah dengan termengah-mengah
    "Assalamualaikum," sapanya di depan pintu. Wajahnya ceria.
    "Waalaikumsalam," balasku sambil tersenyum.
    Aku memerhati dia meletakkan beg yang disandangnya di atas kerusi. Ada beg komputer, ada beg tangan dan botol air biru. Muatan yang dipikulnya setiap hari tidak pernah kurang daripada 3 kilogram. Begitulah setiap hari dan yang hairannya memang aku akan menunggu-nunggu kedatangannya. Sudah menjadi rutinku begitu. Tidak pernah ada perjanjian pun diantara kami. Aku senang menunggu dia berceloteh pelbagai cerita dan sama-sama ketawa. Tiada cerita yang menyakitkan hati. Semuanya tentang pelangi hidup dan kehidupan.
    Aku sendiri tidak tahu sejak bila rutin ini bermula. Yang pastinya aku selalu berdoa agar BERJUMPA DENGAN ORANG-ORANG yang 'mahal' nilainya. Aku juga sentiasa berdoa agar mahar persahabatan (hubaan limaanan) dengan orang yang mahal ini dapat ditebus 'di sana' kelak. Bukan sedikit orang yang kujumpa sepanjang hidupku. Ada yang bernilai dan ada yang tidak (aduwwan). Siapalah kita untuk menilai manusia?. Tapi aku yakin dengan perintah Allah lewat Al-Quran iaitu:
    "Teman-teman akrab pada hari itu (kiamat) menjadi musuh bagi yang lain, kecuali persahabatannya kerana Ketaqwaan (iman dan amal soleh” (Az-Zukhruf :67).
    "Hari ni kita ada aktiviti apa ya?," soalnya sambil jari-jari montoknya berlari-lari di muka telefon. Aku ikut mentelaah ruang telegram yang mengandungi beratus-ratus kumpulan manusia di dalamnya. Di ruang maya inilah aku boleh JUMPA ORANG dari setinggi-tinggi pangkat sehingga serendah-rendah pangkat. Pangkat yang dicipta manusia. Dan sebagai makhluk sosial, aku juga tidak terkecuali.
    "Pukul 9 pagi dan pukul 2.30 petang ada meeting," ujarnya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal.
    "Kita sibuk hari ni, tadi kita sudah beli nasi lemak semasa datang. Jom sarapan nasi lemak dulu untuk alas perut," aku mengusulkan sambil tangan kutuding ke arah pantri pejabat.
    Kami bangun menuju pantri dan sama-sama menjamah sarapan pagi berbekalkan kopi panas yang dibancuh oleh salah seorang sahabat yang juga tidak kurang mahal nilainya.
    Dalam diam aku memanjatkan doa kepada Nya
“Allahumma ya Allah selamatkanlah hamba dari sahabat yang bila melihat kebaikanku ia sembunyikan, tetapi bila melihat keburukanku ia sebarkan.”
Aamiin.
Ilmu:
1. "Aduwwan”, adalah seolah sahabat tetapi musuh, di depan seolah baik tetapi sebenarnya hatinya penuh benci, menunggu untuk kejatuhan sahabatnya, “Bila engkau memperoleh nikmat, ia benci, bila engkau tertimpa musibah, ia senang” (QS 3:120).
2. "Hubban Iimaanan”, adalah sebuah ikatan persahabatan yang lahir batin, tulus saling cinta & sayang karena Allah SWT, saling menolong, menasihati, menutupi aib sahabatnya, memberi hadiah, bahkan diam-diam dipenghujung malam, ia doakan sahabatnya.

JURNAL PENULISAN 2023

2023 : Aku mulai tahun ini, pada hari ini dan saat ini dengan azam yang tinggi  untuk mencoretkan sesuatu pada kanvas pelangi. Coretan suka dan duka. Coretan kisah hidup yang telah, sedang dan akan kukutip dalam meniti kehidupan di daerah ini. Daerah yang penuh dengan harapan yang menggunung untuk menjadi yang terbaik. Di daerah ini segalanya serba mahal. Tiada yang percuma. Doakan agar bekalan yang ku kutip di daerah ini dapat membantu aku untuk meneruskan perjalanan yang panjang kelak....

HUJAN

  Anong memandang langit. Hujan semakin lebat. Dia gelisah. Kain rok yang dipakainya terus diselak separas betis sehingga menampakkan beti...