HUJAN

 


Anong memandang langit. Hujan semakin lebat. Dia gelisah. Kain rok yang dipakainya terus diselak separas betis sehingga menampakkan betisnya yang putih melepak. Dia mulai berlari meredah hujan. Dia nekad  berlari menuju ke arah rumah berkubah hitam di hadapannya. Dia terpaksa berteduh di situ walaupun berkali-kali dilarang Pho. Sekejap lagi apabila hujan teduh, dia akan kembali ke tempat menunggu seperti biasa. Pho tak akan tahu dan dia juga amat yakin bahawa abangnya Dusit pun tidak akan tahu. Dia menarik nafas lega.

Sudah sebulan Anong berulang alik dari rumahnya ke rumah guru seni yang terkenal di pinggir bandar. Sudah sebulan jugalah Anong yang bebal dipaksa belajar untuk melakar tapak ukiran emas. Setiap kali itu jugalah dia gagal. Dia tidak pernah mahu belajar ukiran ini. Entah kenapa Pho selalu memaksa dia melakukan perkara yang dia tidak suka. Anong selalu cemburu dengan Boonsri, adiknya yang lemah lembut itu. Boonsri yang selalu pitam dan sakit-sakit itu tidak pernah dipaksa melakukan apa-apa. Mae hanya menyuruh Boonsri belajar memasak dengan tukang masak yang diupah Mae. Anong mendengus kuat, cemburu Anong kepada  Boonsri semakin membuak-buak.

Hujan tidak menunjukkan tanda-tanda mahu teduh. Anong memandang gelisah kepada susuk lelaki yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Anong mengundur ke belakang dan matanya meliar mencari-cari alat yang boleh dijadikan senjata. Matanya menangkap kayu panjang sedepa yang tersangkut di tepi gendang besar. Anong merencana mahu menggunakan kayu itu sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Dia cuak apabila lelaki itu turut bergerak ke arah kayu tersebut. Sepantas kilat Anong berlari mendahuluinya namun malangnya lantai yang licin menyebabkan dia jatuh menghempas lelaki itu.

Dunia Anong kelam dan bisu….

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

HUJAN

  Anong memandang langit. Hujan semakin lebat. Dia gelisah. Kain rok yang dipakainya terus diselak separas betis sehingga menampakkan beti...